Wednesday, 30 September 2015

Majlis Bertahagaan Bubuhan Haji Chulok

Pada 26 September 2015 bersamaan 12 Zulhijjah 1436, bertempat di Kampung Permatang, Parit 7B Sungai Manik, Perak, telah diadakan sebuah majlis perjumpaan keluarga waris keturunan Haji Chulok Bin Haji Chulan.

Majlis tersebut yang juga disebut 'Majlis Bertahagaan Bubuhan Haji Chulok' dalam Bahasa Banjar telah dihadiri hampir 300 orang waris keturunan Haji Chulok yang datang dari seluruh Negara. Majlis tersebut berjaya mempertemukan keturunan Haji Chulok sehingga generasi ke lapan.

Pelbagai program diadakan untuk memeriahkan program sehari suntuk antaranya 'majlis bakisah dan bacu'ur' atau 'bercerita dan mencari salasilah keluarga', 'manggintel gayam' atau 'menguli sejenis kuih tradisi banjar' dan pertandingan mewarna kanak-kanak. Bahasa Banjar digunakan sebagai medium komunikasi utama sepanjang majlis ini berlangsung.

Berikut adalah gambar-gambar suasana kemeriahan sepanjang majlis bertahagaan Bubuhan haji Chulok.





































Tuesday, 29 September 2015

Sejarah Orang Banjar di Malaysia

Asal Usul Orang Banjar
Menurut Alfani Daud, suku Banjar adalah campuran penduduk asli di kalangan suku Dayak dengan imigran dari luar Kalimantan Selatan seperti dari Pulau Jawa dan Sumatera  yang akhirnya membentuk sekurang-kurangnya lima subsuku, iaitu:
  • Banjar Pahuluan - Penduduk sekitar lembah-lembah Sungai ke Pergunungan Meratus
  • Banjar Batang Banyu - Penduduk sekitar lembah Sungai Negara
  • Banjar Kuala - Penduduk sekitar Banjarmasin dan Martapur
Manakala menurut Idwar Saleh pula, suku Banjar terdiri dari tiga subetnik berdasarkan wilayah tempat tinggal mereka dan unsur pembentukan suku:
  • Banjar Pahuluan; campuran Melayu dan Bukit (Bukit sebagai ciri kelompok).
  • Banjar Batang Banyu; campuran Melayu, Maayan, Lawangan, Bukit dan Jawa (Maanyan sebagai ciri kelompok)
  • Banjar Kuala; campuran Melayu, Ngaju, Barangas, Bakumpai, Maayan, Lawangan, Bukit dan Jawa (Ngaju sebagai ciri kelompok)
Sejarah Penghijrahan Masyarakat Banjar ke Tanah Melayu
Sejarah penghijrahan masyarakat Banjar ke Tanah Melayu adalah berhubung kait dengan tiga gelombang penghijrahan besar-besaran masyarakat Banjar, iaitu ;
Gelombang Pertama ; Sekitar tahun 1780-1790 apabila terjadinya penghijrahan besar-besaran orang Banjar ke pulau Sumateradi kalangan penyokong para penyokong Pangeran Amir yang kalah dalam perang saudara Kerajaan Banjar, iaitu Pangeran Tahmidullah. Mereka terpaksa melarikan diri dari wilayah Kerajaan Banjar kerana dijatuhkan hukuman mati kerana di anggap sebagai musuh politik.

Kelombang Kedua ; Sekitar tahun 1860-1870 terjadi penghijrahan besar-besaran ke pulau Sumatera. setelah pendokong Pangeran Antasari dalam kemelut Perang Banjar. Pasukan Residen Belanda yang menjadi musuh mereka dalam Perang Banjar yang telah menguasai kota-kota besar di wilayah Kerajaan Banjar.

Gelombang Ketiga ;  Sekitar tahun 1905-1910 suku Banjar kembali melakukan penghijrahan besar-besaran ke pulau Sumatera setelah Sultan Banjar, Sultan Muhammad Seman mati syahid di tangan Belanda.
Ketika berlakunya gelombang penghijrahan tersebut, orang Banjar meneruskan penghijrahan ke Tanah Melayu seperti ke Batu Pahat di Johor, Sabak Bernam dan Tanjong Karang di Selangor dan Daerah Kerian (Parit Buntar & Bagan Serai) serta Hilir Perak (Bagan Datoh & Sungai Manik) di Negeri Perak.
Antara tokoh-tokoh terkenal dikalangan orang Banjar di Malaysia ialah ;
Tokoh Agama ;
  • Almarhum Tuan Sheikh Hussein Bin Muhammad Nashir (Mantan Mufti Kerajaan Negeri Kedah)
  • Almarhum Tuan Guru Haji Ahmad Bin Tuan Hussein (Ahli Majlis Mesyuarat Penasihat Agama Pulau Pinang yang kemudiannya menjadi tokoh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pertama memenangi Pilihan Raya Perwakilan Persekutuan 1955 dan wakil pembangkang tunggal ketika itu menewaskan calon Parti Perikatan, Haji Sulaiman Palestin bagi kawasan Pilihan Raya Kerian)
  • Almarhum Dato' Haji Ishak Bin Baharom (Mantan Mufti Kerajaan Negeri Selangor),
  • Tan Sri Harussani Bin Zakaria (Mufti Kerajaan Negeri Perak)
  • Tan Sri Haji Hassan Azhari ('Ulamak Qira'at dan pakar dalam bacaan Al-Quran)
Tokoh Politik ;
  • Dato' Seri Khalid Bin Noordin (Menteri Besar Johor dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO)
  • Dato' Dr Abdul Latiff Bin Ahmad (Mantan Timbalan Menteri Pertahanan / Ahli parlimen Mersing)
  • Dato' Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah (Menteri Kewangan ii/Ahli Parlimen Tambun, Perak)
  • Ustaz Haji Hassan Bin Shukri (Mantan Senator/Ahli Dewan Negara/Mantan Timbalan Presiden PAS)
  • Tuan Guru Haji Sabran Bin Asmawi (Mantan ADUN Semanggol/Pesuruhjaya PAS Negeri Perak)
  • Dato' Haji Hassan Adli Bin Mohd Arsyad (Mantan Menteri Kerajaan Tempatan dan Wilayah Persekutuan/Mantan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS)
  • Dato' Dr Mohd Puad Zarkashi (Mantan Timbalan Menteri Pelajaran /Ahli Parlimen Batu Pahat)
  • Dato' Haji Mohd Aini Bin Taib (Mantan EXCO Kerajaan Negeri Selangor/ADUN Sungai Burong)


Tokoh-tokoh Masyarakat ;
  • Dato' Ramly Bin Mokni (Pengasas Ramly Burger)
  • Prof. Tan Sri Dato' Dr Nordin Bin Kadri (Penyandang Kursi Za'ba UPSI/Tokoh Akademik)
  • Tan Sri Abdul Rahim Bin Mohd Noor (Ketua Polis Negara 1994-1999)
  • Tan Sri Norian Mai (Ketua Polis Negara 1999-2003)
  • Tan Sri Musa Hassan (Ketua Polis Negara 2006-2010)
  • Dato' Aliff Shukri Kamaruzzaman (Pengasas D'Herb Terlajak Laris)
  • Seniwati Puan Sri Salmah Binti Ismail /Saloma (Artis/Penyanyi)
  • Sarimah Ibrahim (Artis/Pelakon)
  • Dato' Jalaluddin Hassan (Artis/Pelakon)
  • Mubarak Majid (Artis/Pelakon)
  • Shuib Sepahtu (Artis/Pelawak)
  • Idris Zakaria @ Zack Idris (Artis/Pelakon)


Haji Chulok Bin Haji Chulan

Allahyarham Haji Chulok Bin Haji Chulan merupakan seorang perantau berketurunan Banjar yang berasal dari Daerah Alai di bawah pemerintahan Kesultanan Banjar yang kini dikenali sebagai Berabai, Hulu Sungai Tengah, Kalimantan Selatan. Haji Chulok juga adalah merupakan antara golongan terawal kalangan imigran orang Banjar ke Tanah Melayu khususnya di Sungai Manik.

Beliau berhijrah ke Tanah Melayu dari Banjar sekitar tahun 1870-1880. Ketika itu berlaku gelombang penghijrahan besar-besaran orang Banjar ke Sumatera dan Tanah Melayu setelah Pangeran Antasari tewas ditangan Belanda.

Ketika di Tanah Melayu, Haji Chulok menetap di Kampung Permatang, Parit 7B, Sungai Manik, Perak ketika pemerintahan kolonial British membuka tanah-tanah pertanian untuk penanaman padi di Sungai Manik. Berdasarkan kisah yang diperturunkan secara lisan kepada generasi Haji Chulok yang terkemudian, Haji Chulok sempat melihat bangkai seekor gajah betina yang cukup besar merempuh lokomotif yang membawa gerabak keretapi dari Tapah ke Teluk Intan (ketika itu Teluk Anson) di Kampung Sungai Kerawai pada tahun 1894.

Haji Chulok meninggalkan waris keturunan yang ramai dan menetap di beberapa buah tempat di semenanjung Malaysia khususnya di sekitar Sungai Manik, Perak, Sabak Bernam dan Tanjong Karang di Selangor serta Batu Pahat, Kluang dan Kota Tinggi di Johor. Terdapat juga keturunan Haji Chulok menetap di Kedah, Perlis dan Tanah rancangan Felda di Pahang, Selangor dan negeri Sembilan. Salah seorang anak Haji Chulok, Haji Ismail Bin Haji Chulok merupakan besan kepada Tuan Guru Haji Bakri Bin Mohd Saman yang terkenal sebagai Khalifah parang Panjang memimpin gerakan menentang pengganas Komunis dalam Perang Sabil Sungai Manik atau Kebangkitan Orang Banjar.